Friday, December 9, 2011

SUDAH TIBA MASANYA RAKYAT KELANTAN TUKAR UNDI ??!?



TANAH MERAH, 23 Nov – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pilihan raya umum akan datang merupakan masa yang terbaik buat rakyat Kelantan menyatakan pendirian selepas mereka diabaikan PAS yang memerintah negeri ini sejak 1990.
Timbalan Perdana Menteri berkata tidak ada sebab lagi bagi rakyat Kelantan untuk terus memilih PAS, yang ternyata menzalimi mereka selama ini.
“Sudah sampai masanya rakyat Kelantan untuk menukar kepimpinan. Dengan apa yang berlaku rakyat Kelantan sudah pun jelak dan mereka perlu lakukan sesuatu agar Kelantan tidak terus ketinggalan.
Kelantan masih jauh tertinggal ke belakang seperti masalah air yang masih belum selesai. Kerajaan Pusat telah menyalurkan peruntukan RM600 juta untuk selesaikan masalah air tetapi kerajaan Kelantan masih gagal menyelesaikannya,” kata Muhyiddin.
Beliau berucap pada Karnival Jamuan Rakyat di Sekolah Kebangsaan Gual Ipoh di sini. Ini merupakan antara program turun padangnya ke Kelantan hari ini.
Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussin, dan Ketua Umno Bahagian Tanah Merah Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Kira-kira 15,000 rakyat pelbagai kaum hadir pada majlis itu walaupun dalam keadaan hujan lebat.
Muhyiddin berkata beliau kecewa apabila melihat masalah air itu, yang turut dialaminya ketika bersama rakyat di Pasir Mas sebelum itu.
“Saya buka pili air tidak keluar air. Saya sedih kerana lihat rakyat sengsara dan tidak mahu mereka lebih sengsara lagi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berjanji jika Barisan Nasional kembali memerintah Kelantan, masalah infrastruktur seperti air bersih tidak akan berulang.
Beliau berkata kerajaan Pusat tidak akan menganaktirikan mereka dan ini dapat dilihat daripada peruntukan besar kepada 51 sekolah agama rakyat.
“Sebanyak RM34 juta telah diperuntukkan demi agama Islam walaupun ada yang tidak suka kepada kita,” katanya.
Muhyiddin juga meminta semua anggota dan pemimpin UMNO turun segera ke padang untuk menjelaskan kepada rakyat bahawa hanya BN sebenarnya yang mampu membela nasib rakyat Kelantan itu.
“Kita yakinkan mereka yang hanya BN yang boleh membantu mereka. Pilihan raya makin hampir dan kita mahu pikul amanah rakyat ini,” katanya.
Beliau berkata pembangkang telah menjanjikan “bulan dan bintang” namun sebenarnya mereka tidak mampu untuk merealisasikan segala janji itu.
“Zaman BN kembali sudah pun sampai. Ini bukan cakap sombong tetapi ini azam kita untuk rakyat Kelantan yang sekian lama dizalimi,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin menunaikan solat Zohor di Masjid Kampung Belimbing dan turut meluluskan peruntukan sebanyak RM1.4 juta kepada pengurusan masjid itu untuk membolehkannya dibina sepenuhnya tidak lama lagi.

No comments: