Friday, December 23, 2011

KONSERT MAHER ZAIN - PERCUMAAA...!!!!



IPOH: Promosi besar-besaran bagi menarik pelancong sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2012 tambah menarik apabila penyanyi terkenal antarabangsa, Maher Zain dijemput mengadakan konsert khas di negeri ini.

Konsert yang diyakini mampu menarik puluhan ribu peminat penyanyi itu bakal diadakan di Stadium Perak pada jam 9 malam, 24 Disember depan.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan negeri, Datuk Hamidah Osman, yang percaya Konsert Bersamamu Rakyat itu dapat melonjak aktiviti pelancongan di negeri ini selain menjadi promosi awal sebelum TMP 2012 dilancarkan.

Menurutnya, penyanyi kelahiran Lubnan itu terkenal di kalangan remaja dan segenap lapisan masyarakat sekali gus mampu membantu mempromosikan TMP 2012.

“Saya yakin Maher Zain dapat menarik pengunjung dari luar Perak. Malah kami turut menjemput penyanyi rock popular, Ramli Sarip untuk menambahkan lagi tarikan konsert itu.

“Difahamkan, Maher Zain menyanyikan 20 lagu termasuk beberapa lagu baru yang belum pernah diperdengarkan kepada peminatnya,” katanya.

Menurutnya, konsert julung kali diadakan itu dibawakan oleh Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Perak Tourism.

Menurutnya, 50 acara menarik lain dianjurkan sempena Pesta Pelancongan Perak yang dijadual berlangsung pada 28 Disember hingga 1 Januari 2012.

“Sasaran lima juta pelancong yang melawat Perak tahun depan bukan lagi mustahil. Usaha sedang giat dijalankan menggunakan semua saluran promosi termasuk iklan di televisyen,” katanya.

Sementara itu, beliau turut turun padang melawat Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh bagi mempromosikan TMP 2012.

Hamidah bersama Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Ahmad Fathil Abdul Ghani turut mengedarkan lencana khas kepada kakitangan dan petugas KTM yang dianggap kumpulan penting dalam mempromosikan pelancongan di Perak.

Aktiviti sama diadakan di Hotel Syeun apabila semua kakitangan termasuk petugas di lobi hadapan dipakaikan lencana khas itu oleh Hamidah. “Kerajaan negeri akan mengadakan acara lain termasuk pelbagai pertandingan serta pameran oleh hotel yang terdapat di Perak seperti dekorasi lobi tercantik, menghias meja serta pelbagai acara lain yang menarik,” katanya. 

No comments: