Thursday, August 19, 2010

DATUK BANDAR IPOH ARAH PENIAGA KIBAR JALUR GEMILANG DI PREMIS PERNIAGAAN

Utara: Kuat kuasa kibar Jalur Gemilang
bhnews@bharian.com.my
2010/08/18


IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menguatkuasakan peraturan setiap premis perniagaan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Perak ketika sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Keputeraan Sultan Perak sebagai syarat lesen perniagaan, bermula tahun ini. Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim, berkata peraturan itu akan mula dikuatkuasakan mulai sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos ini. Katanya, langkah itu bagi memastikan bendera dikibarkan sempena sambutan dua hari bersejarah di negeri ini iaitu pada Hari Keputeraan Sultan Perak pada 19 April dan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos. Bagaimanapun, beliau berkata, MBI tidak berhasrat untuk menyaman atau mengenakan kompaun terhadap premis perniagaan yang gagal berbuat demikian, tetapi hanya dimasukkan dalam syarat lesen perniagaan.
''Kami mahu menggalakkan orang ramai supaya mengibarkan bendera pada kedua-dua hari bersejarah ini bagi melambangkan rasa kasih sayang kita kepada negara serta negeri. Sebagai simboliknya kita kibarkan bendera.

"Sebenarnya perkara seperti ini tak payah nak masukkan dalam syarat (lesen) pun, tetapi sikap masyarakat yang seperti tidak mengendahkannya kerana menganggap ia tidak penting memaksa kami berbuat demikian," katanya kepada pada sidang akhbar selepas perasmian Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat MBI di sini, semalam.


Roshidi berkata, MBI meletakkan syarat itu kerana mendapati ia bukan perkara membebankan kerana harga bendera yang dijual hanya kira-kira RM16 bagi bendera bersaiz besar dan pemasangannya pula tidak sukar. Beliau bagaimanapun berharap premis kediaman atau perniagaan tidak mengibarkan bendera yang sudah `uzur', sebaliknya menggantikannya dengan bendera baru supaya premis sekitar bandar raya itu kelihatan `segar' sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Katanya, MBI dilantik sebagai urusetia bagi Majlis Pelancaran Sambutan Hari Malaysia yang pertama di Ipoh pada 16 September ini yang akan dilangsungkan di Stadium Perak.

Beliau berkata, slogan `1Malaysia, Menjana Transformasi' dilihat begitu tepat bagi menjayakan hasrat Menteri Besar serta Perdana Menteri untuk menyatukan rakyat negara ini.

“Penyatuan berkenaan juga dilihat bakal menjadikan rakyat Malaysia lebih kuat bagi membantu menjana transformasi dalam pelbagai bidang seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di peringkat kebangsaan serta gagasan Perak Amanjaya di peringkat negeri,” katanya.

sumber : http://mforum1.cari.com.my/news/bh/readmore.php?article=Utara_KuatkuasakibarJalurGemilang/Article

No comments: