Thursday, November 21, 2013

SITI NURHALIZA VS KHAIRY JAMALUDDIN


SUKAN, khususnya bola sepak bukan bidang kegemaran penyanyi diva, Siti Nurhaliza berbanding minat semula jadinya pada nyanyian. Bagaimanapun berbanding dengan Siti, Khairy Jamaluddin atau KJ, tokoh muda yang dipilih semula menjadi Ketua Pemuda Umno baru-baru ini meminati sukan bola sepak. Sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan mengenai portfolio sukan, ia bukanlah perkara baru jika minat itu menjadi satu profesion pula.

Dalam setahun boleh dibilang dengan jari siti dan suaminya Datuk K, hadir dalam pertandingan bola sepak. Justeru bagi orang ramai komen Siti mengenai KJ bukannya komen mengenai prestasi sukan bola sepak yang menjadi bahan kritik rakyat sejak kebelakangan ini. Ia bagaimanapun menjurus kepada usahanya membela Presiden FAM Sultan Ahmad Shah yang juga Sultan Pahang.

Selain sebagai anak jati Pahang, Siti juga memperoleh anugerah yang membawa gelaran “Datuk” daripada baginda. Siti dilihat melihat kritikan terhadap FAM seolah-olah kritikan peribadi terhadap kepimpinan Tuanku sebagai Presiden FAM. Ia harus dibela bagi memperlihatkan kasih dan sayangnya tertumpah kepada duli tuanku.

Ironinya kita lihat ada elemen double standard dalam memperkatakan sikap Siti dalam banyak hal. Apabila PM Najib Razak dikritik seperti dalam isu Altantuya dan submarine scorpion, Siti tidak tampil mempertahankan Najib. Sedangkan Siti sedar, Najib juga seperti Tuanku, anak jati Pahang.

 Siti memilih mengkritik KJ. Kalau ikutkan Siti bukanlah duta FAM, malah badan sukan itu tidak memerlukan sokongan Siti dalam usaha pertahankan diri daripada dikritik.

Kalau bahasa perundangan Siti dilihat tidak ada loci standi. Kalau sebagai duta produk sekalipun, ia bercakap tentang produk bukan aspek negatif. Adalah malang, Siti dengan tidak faham konflik dan sejarah yang mencetuskan kontroversi cuba menjadi juara dengan menganggap kritikan KJ biadab. Siti mungkin terlupa sebagai menteri, KJ bertanggungjawab mengenai sukan termasuk FAM dan bola sepak.

Malaysia pernah menjadi gergasi bola sepak Asia tapi itu dulu. Tetapi sekarang mutu bola sepak di Malaysia jatuh merosot seolah-olah para pemain kita dan jawatankuasa FAM baru berjinak-jinak dengan bidang ini. Siti kena terima hakikat mengkritik FAM tidak bererti mengkritik Sultan Pahang. Tuanku dan FAM adalah dua entiti berlainan. Tidak ada siapa menganggap prestasi bola sepak kita merosot kerana faktor Tuanku. Siti atau sesiapa saja harus pisahkan antara dua entiti ini apabila mereka memberi pendapat dalam sukan bola sepak ataupun FAM.

Terlanjur kita bercakap pasal mutu sukan ini kebelakangan ini, kita ingin menambah bahawa dari segi pentadbiran, FAM jauh lebih baik dari persatuan sukan yang lain. Setengah persatuan sukan bukan saja gagal melahirkan jaguh-jaguh dalam bidang tertentu, tetapi lebih menyedihkan rebutan kuasa berlaku sehingga berlaku saman menyaman dan sebagainya.

Dari segi organisasi, Tuanku Sultan menjadikan FAM sebuah persatuan elit yang dihormati bukan saja kalangan kita, bahkan hingga ke peringkat antarabangsa. Malang atas padang kegemilangan FAM gagal diterjemahkan dalam bentuk keputusan pertandingan. Para pemain kita masih jauh dari kualiti sebenar. Tak malu kalau kita katakan jika kerajaan import Alex Ferguson untuk membantu mengurus pasukan kebangsaan pun mutunya tetap tidak berubah. Dan akhirnya Alex pulang semula ke negara asal dengan 1,001 macam kekecewaan.

Bola sepak Malaysia memerlukan satu keajaiban untuk pulih daripada demam kejuaraan bertaraf antarabangsa seperti zaman supermokh atau Namat Abdullah. Malaysia boleh jadi kuasa baru bola sepak jika kita lebih berani dan bersifat praktikal. Ia sama seperti kata orang sekarang, berfikir di luar padang.

Justeru bagi saya apa yang KJ lakukan ialah membawa pandangan rakyat ke pengetahuan FAM. Sebelum ini KJ membuktikan keupayaan mengasaskan MyTeam tanpa FAM. KJ ada kebolehan yang mahu ditunjukkan kepada FAM.

Sebagai peminat bola sepak kita melihat apa yang KJ lakukan berniat baik dalam mengembalikan mutu sukan ini melalui kaedah tidak konvensional. Kita tidak hairan jika anjuran KJ tidak disenangi jawatankuasa FAM tetapi inilah yang membezakan antara kritikan dan memberi pandangan.

Elok sekiranya Siti fokus saja bidang nyanyian, tinggalkan sahaja bidang sukan dan bola sepak kepada ahli-ahlinya.

SUMBER : SINAR HARIAN ONLINE

No comments: