Pembangkang sedang giat mengeksploitasi
isu pembelian kapal selam Scorpene bukan sahaja di dalam negara malah
menjajanya di luar negara.
Pembangkang tidak langsung berasa
bersalah untuk memburuk-burukkan nama baik Malaysia dan imej kerajaan yang
kononnya terbabit dalam amalan rasuah dalam urusan pembelian kapal selam itu
dari sebuah syarikat milik kerajaan Perancis.
Sasaran pembangkang hanya satu iaitu
menconteng imej buruk kepada pimpinan dan diri Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak dengan harapan rakyat akan marah dan undi akan beralih kepada mereka
pada pilihan raya umum ke 13 nanti.
Untuk menjayakan muslihat ini, mereka
memperkudakan Suaram untuk mengaburi mata rakyat dan masyarakat
antarabangsa.
Suaram dilihat sebagai landasan terbaik
bagi Anwar Ibrahim dan kuncu-kuncu kumpulan pembangkangnya dalam Pakatan Rakyat
untuk menyerang Perdana Menteri kerana sebagai sebuah pertubuhan yang dianggap
memperjuangkan isu-isu hak asasi manusia, sudah tentu tindakannya membawa isu
Scorpene ke mahkamah Perancis tidak akan dipersoalkan.
Tetapi apakah Suaram benar-benar ikhlas
membangkitkan isu Scorpene atau sekadar menjadi anjing salakan Anwar?
Sebenarnya Suaram secara senyap telah
menukarkan kulitnya sebagai pejuang hak asasi kepada sebuah cawangan PKR atau
lebih spesifik lagi salah satu tali barut Anwar.
Sikap toleransi tinggi yang ditunjukkan
oleh kerajaan dan Perdana Menteri dalam hal ini bukanlah kerana disebabkan
kelemahan atau sebab ada sesuatu yang hendak disorokkan daripada rakyat.
Jika diikuti isu Scorpene, kerajaan
telah bertindak secara pro-aktif sejak pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi
lagi.
Ketika itu, Datuk Seri Najib selaku
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan telahpun memberi jawapan
rasmi di dalam Dewan Rakyat apabila isu pemberian komisyen sebanyak RM540 juta
dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang masa itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.
Ini berlaku seawal 6 Mei 2008 lagi di
mana Datuk Seri Najib menegaskan rundingan perolehan oleh Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) bagi kapal selam Scorpene, dan juga pesawat Sukhoi SU30MKM telah
mendapat kelulusan daripada semua peringkat serta mematuhi Tatacara Pelaksanaan
Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara.
Rundingan ketat dan telus ini termasuk
mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Rundingan Harga
setelah proses penilaian dilakukan selari dengan keperluan ATM.
Bahkan segala aspek dan klausa dokumen
perjanjian kontrak pembelian peralatan tentera itu juga tidak terlepas daripada
penelitian rapi Pejabat Peguam Negara.
Kesimpulannya, tidak mungkin mana-mana
aspek kontrak dan urusan pembelian kapal selam Scorpene telah diseleweng atau
dipengaruhi oleh kerajaan jika proses rundingan mengikuti aliran tatacara yang
amat ketat dan wibawa.
Tujuan pembangkang hanya semata-mata
untuk mengeliru dan membakar hati rakyat dengan mereka-reka isu yang palsu dan
tidak berasas.
Jika isu ini gagal diperbesarkan oleh
pembangkang semasa era Tun Abdullah, kali ini Anwar melihat peluang keemasannya
ketika Datuk Seri Najib menerajui Putrajaya.
Tidak berjaya mendapat sokongan di
negara sendiri, Anwar menggunakan Suaram untuk terus menyerang kerajaan.
Bukan itu sahaja, Anwar juga sebenarnya
telah memperkudakan sistem mahkamah Perancis untuk menyerang kerajaan Malaysia.
Suaram bukan lagi bertindak sebagai
organisasi bukan kerajaan yang pendaftarannya tertakluk kepada undang-undang Malaysia,
tetapi telah mengangkat martabatnya sebagai pendakwa, hakim dan seterusnya
pelaksana hukum.
Tidak cukup dengan membuat aduan
mengenai isu kapal selam Scorpene ke Perancis dengan dibantu oleh dua peguam
negara itu, Suaram bersama peguamnya membuat sidang akhbar di Bangkok baru-baru
ini.
Jika benarlah Suaram berjuang hak asasi
rakyat Malaysia mengapa perlu mengadakan sidang akhbar di negara jiran dengan
dihadiri kebanyakannya oleh media asing?
Apa agenda sebenar Suaram membuat fitnah
dan tuduhan serius kepada kerajaan Malaysia jika tidak lain tidak bukan ia
adalah sebahagian daripada strategi licik Anwar?
Lebih memeranjatkan bagaimana pihak
mahkamah Perancis boleh memberi layanan yang sungguh istimewa kepada Suaram
melalui akses penuh kepada 153 kertas siasatan dari pejabat Pendakwa
Raya.
Peranan Suaram hanya selaku pengadu atau
plaintif sivil dalam kes yang di bawanya tetapi kini ia seolah-olah telah
bertindak sebagai peguam bagi pihak pendakwaan!
Apakah isu Scorpene sebenarnya telah
dicanai dengan begitu rupa melalui strategi yang rapi dan terancang, dengan
membabitkan bukan sahaja Suaram tetapi jaringan sistem mahkamah luar negara,
media antarabangsa serta jentera propaganda yang dibiayai oleh pihak Zionis?
Apakah agenda sebenar Suaram, pihak mana
yang menjadi pendokong kewangan utamanya dan adakah Suaram pada hakikatnya
sebuah organisasi yang radikal?
Isu ini akan dikupas selanjutnya dalam
analisis seterusnya.
No comments:
Post a Comment