
IPOH - Rakyat yang patriotik dan bertanggungjawab tidak perlu dipaksa
mengibarkan bendera negeri Perak dan Jalur Gemilang di premis masing-masing pada 19 April dan 31 Ogos setiap tahun kerana mereka tentu sedar dan perkara yang perlu dilakukan oleh seseorang yang cintakan negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, rakyat termasuk golongan peniaga sepatutnya mengibarkan bendera pada hari tersebut secara sukarela dan bukan kerana takut lesen perniagaan mereka disenarai hitam oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
''Niat Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim buat begitu adalah baik untuk memastikan rakyat mengibarkan bendera dan menghidupkan suasana sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak pada 19 April dan Hari Kemerdekaan negara pada 31 Ogos, tetapi mungkin cara beliau tidak dapat diterima orang ramai.
''Tidak perlu timbul soal memaksa kerana adalah menjadi kewajipan kita sebagai rakyat yang benar-benar cintakan negara untuk mengibarkan bendera," katanya selepas menghadiri Hari Bertemu Pelanggan di Pejabat Menteri Besar di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Datuk Bandar Ipoh semalam yang mahu mensyaratkan semua premis perniagaan yang dilesenkan oleh MBI supaya mengibarkan bendera Perak dan Jalur Gemilang di premis masing-masing pada 19 April dan 31 Ogos setiap tahun.
Roshidi berkata, mereka yang gagal berbuat demikian akan dikompaun atau disenaraihitamkan.
Namun, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon hari ini menarik balik tindakan itu selepas mendapat bantahan daripada ramai peniaga.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati suasana sambutan Bulan Kemerdekaan masih belum dirasai di bandar raya ini kerana sebahagian besar pemilik bangunan dan peniaga tidak mengibarkan Jalur Gemilang.
Malah, hanya sebilangan kecil penduduk dilihat memasang bendera pada kenderaan masing-masing walaupun bendera kecil hanya berharga RM2.